Saturday, 4 March 2017

TINDAKAN BERETIKA


TINDAKAN BERETIKA
(tugasan)

                       Bagi mereka yang bersifat negatif, persaingan dianggap sebagai penghalang. Bagi mereka yang berfikiran sempit dan negatif, persaingan menjadi ancaman kepada diri dan boleh memberikan suasana yang sukar untuk meraih kejayaan yang disasarkan. Pendirian dan sikap sebegini menjadikan seseorang itu akan menganggap pesaing itu sebagai musuh dalam pekerjaan. Maka, mereka sedaya-upaya akan sentiasa memikirkan cara untuk memusnahkan pesaing-pesaing tersebut. Sikap itu lebih menonjol apabila mereka ingin memenangi sesuatu persaingan dan tidak boleh atau tidak menerima kekalahan.
                   Tindakan yang diambil oleh pengurus produk Sedap itu dianggap tidak beretika kerana menyebabkan produk Enak terhenti pengeluarannya selama sebulan dan menyebabkan produk itu rugi sebanyak hasil jualan bagi satu bulan. Etika bermaksud satu sistem prinsip moral dalam menentukan sesuatu perbuatan itu betul atau salah. Walaupun produk Sedap tidak mensabotaj perniagaan produk Enak , tetapi tindakan yang diambil oleh produk Sedap bertujuan untuk memperlahankan perniagaan syarikat produk Enak. Ini dianggap tidak beretika kerana produk Sedap mempuanyai seribu cara lain lagi untuk bersaing dengan produk Enak selain daripada tindakan yang dilakukannya ini.
                    Perlakuan etika sering dibelakangi apabila usahawan berdepan dengan isu keuntungan, merebut peluang dan menghadapi persaingan. Contohnya, produk Sedap membeli botol kaca yang digunakan oleh produk Enak daripada pengeluar botol yang sering menerima tempahan daripada produk Enak. Aktiviti penghasilan botol kaca yang perlahan ditambah lagi dengan tambahan pelanggan menyebabkan unit botol kaca adalah terhad. Akibatnya produk Enak menghadapi kekurangan botol kaca dan tidak dapat menjalankan perniagaannya tanpa botol kaca itu.
                    Produk Sedap seharusnya bersaing dengan sihat iaitu bersaing bersama tanpa menjejaskan perniagaan orang lain. Pengurus pemasaran bagi produk Sedap perlu merangka perancangan baru yang lebih strategik bagi menghadapi persaingan yang diberikan oleh produk Enak. Pengurus produk Sedap perlu bijak untuk mencari peluang baru dalam perniagaan dengan cara belajar daripada pesaing-pesaing untuk mencipta idea baru dan unik yang mungkin belum diketengahkan lagi. Walau apa pun tindakan yang  diambil, pastikan keputusan itu benar-benar mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri dan organisasi. Wujudkan suasana persaingan yang sihat.

                  Pengetahuan berkenaan dengan produk syarikat serta pasaran merupakan aset penting yang menentukan kejayaan sesebuah produk. Tanpa pengetahuan serta ilmu, syarikat tersebut tidak akan ke mana-mana. Ini penting kerana jika bakal pembeli bertanya maklumat lanjut berkenaan produk, kita mampu menjawabnya dengan penuh yakin dan keyakinan inilah yang akan membuatkan mereka membeli. Ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa persaingan di pasaran ini ibarat seperti peperangan dan pesaing ibarat pihak musuh yang perlu dikalahkan.
                   Kesimpulannya, jika anda menghadapi persaingan dalam perniagaan anda, ingatlah bahawa usah mudah mengalah dan tidak yakin dengan keupayaan diri serta produk anda. Hilangkan semua unsur-unsur negatif yang menghalang kejayaan anda dan berubahlah menjadi lebih yakin serta lebih berwibawa. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang tapi jadikanlah diri kita terpengaruh dengan hasil kejayaan kita menjual produk yang ditawarkan. Sesungguhnya itulah pendorong dan pencetus semangat kita untuk bertindak ke arah mencari kejayaan.


No comments:

Post a Comment